Bapa dera anak didenda RM15,000 - Utusan Malaysia

Bapa dera anak didenda RM15,000

CHUNG Jian didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pekerja kilang didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah kerana mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun antara Ogos lalu sehingga September ini.

Tertuduh, Tan Chung Jian, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Roslan turut mengarahkan tertuduh dikenakan bon jaminan sebanyak RM10,000 bagi memastikan tertuduh berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak lelakinya berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan lelaki terbabit di sebuah rumah di Taman Desa Jaya 2, di sini antara Ogos sehingga September ini.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 20021 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana perlu menyara ibu bapanya yang telah tua selain seorang isteri dan anak kerana pendapatannya sebagai pekerja kilang tidak mencukupi. 

Media pada Jumaat lalu melaporkan tindakan murid tahun satu sebuah sekolah di sini memakai jaket mengundang tanya tanya seterusnya membongkarkan kejadian rupa-rupanya mangsa didera bapa kandungnya sejak dua bulan lalu.

Pemeriksaan oleh guru kelasnya kemudian mendapati ada kesan kemerah-merahan pada wajah kanak-kanak lelaki terbabit.

Selain itu terdapat kesan calar pada seluruh badan, bengkak di siku, luka di telinga, lebam dan bibir mangsa terkoyak dipercayai akibat dipukul bapanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya