SHAH ALAM: Kebenaran sudah ditegakkan kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejurus dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah sejak perbicaraan yang bermula lebih setahun lalu.
Presiden Umno itu yang dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan rasuah tersebut kerana didakwa menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN) berkata, sejak dari awal dihadapkan ke mahkamah beliau yakin dan percaya dengan sistem kehakiman dan perundangan negara.
“Saya telah diaibkan, dimalukan, malah ditelanjangkan dengan pelbagai anggapan dan saya telah dihukum terlebih dahulu oleh mahkamah awam (court of public opinion).
“Tapi Jumaat kebenaran perundangan ditegakkan,” kata beliau pada sidang media di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas hakim mengumumkan keputusan.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah kerana pendakwaan gagal mewujudkan prima facie ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Dipercayai
Mohd. Yazid dalam keputusannya turut berkata, tiga saksi utama yang dikemukakan juga tidak boleh dipercayai.
Saksi yang dimaksudkan itu ialah bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), David Tan Siong Sun, dan bekas pengarah syarikat tersebut, Harry Lee Vui Khiun serta Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani.
Hakim juga berkata, beliau tidak dapat membayangkan wang jutaan ringgit dimasukkan ke dalam sampul surat dan dihantar kepada Zahid seperti mana dikatakan oleh saksi.
Katanya, dalam kes Datin Seri Rosmah Mansor, beg-beg digunakan untuk menghantar wang tunai berjuta ringgit.
“Ketiga-tiga saksi utama memberi keterangan semua wang tunai dimasukkan ke dalam sampul coklat setiap kali penghantaran. Pada mulanya, amaun bulanan ialah SGD200,000 tetapi kemudiannya dinaikkan kepada SGD300,000 dan akhirnya SGD520,000. Bagi bulan yang tertinggal, jumlah itu kemudian digandakan.
“Sebagai contoh, jika mereka tidak membayar pada Januari, amaun itu akan dibayar bersekali pada Februari. Sekali lagi, semuanya dimasukkan ke dalam sampul surat.
“Namun pihak pendakwaan tidak menunjukkan sebarang sampel sampul surat sebagai bukti.
“Saya tidak boleh bayangkan saiz sampul apa yang boleh memuatkan wang tunai SGD600,000 yang bersamaan dengan sekitar RM1.6 juta pada masa itu,” katanya.
Transaksi
Selain itu kata hakim, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikemukakan di mahkamah selain pemandu, pengawal dan anggota polis tidak dipanggil untuk beri keterangan di samping slip transaksi Touch and Go tidak dikemukakan, log panggilan telefon dan mesej dengan Zahid juga tidak dikeluarkan.
Keputusan hakim itu disambut dengan laungan Allahuakbar dalam mahkamah oleh penyokong Ahmad Zahid dan disusuli tepuk tangan sehingga terpaksa diredakan oleh Mohd. Yazid.
Ahmad Zahid dilihat menadah tangan sebagai tanda kesyukuran terhadap keputusan tersebut yang menyaksikan beliau tidak perlu dipanggil membela diri.
Beliau yang duduk di kandang tertuduh kemudian bangun mengucapkan ucapan terima kasih sebelum prosiding tamat.
Terdahulu, Hakim Mohd. Yazid dalam penghakiman setebal lebih 100 muka surat berkata, keterangan tiga saksi utama ditolak kerana tidak berwibawa dan tidak boleh dipercayai sekali gus menjadi asas kepada keputusan pembebasan itu.
Menurut beliau, keterangan tiga saksi pendakwaan didapati gagal membuktikan hubung kait wang dengan kes pertuduhan rasuah dihadapi tertuduh.
“Mahkamah mendapati keterangan saksi ke-17 (Siong Sun) berhubung isu bagasi mengandungi wang diberikan kepada tertuduh adalah keterangan difikirkan kemudian,” katanya.
Tidak cukup
Katanya, mahkamah juga melihat tanda ‘Z’ dan ‘ZH’ pada lejar UKSB tidak cukup untuk membuktikan Zahid menerima suapan berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd. Yazid berkata, mahkamah mendapati walaupun wujud dakwaan Ahmad Zahid menerima dana politik berjumlah RM200,000 dua kali, namun tiada sebarang keterangan mengenainya dikemukakan di mahkamah.
Oleh demikian, katanya, keraguan timbul sama ada wang suapan yang dikatakan dibayar kepada Ahmad Zahid itu benar-benar wujud dan identiti individu yang menyerahkannya kepadanya itu kekal tidak selesai dan terjawab.
Tambahnya, mahkamah turut menyimpulkan bahawa pendakwaan gagal membuktikan intipati utama dalam kesemua 33 pertuduhan bahawa tertuduh menerima wang suapan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Bagi tujuh pertuduhan pilihan menerima suapan, saya mendapati saksi pengarah UKSB dan bukti lejar dikemukakan pendakwaan gagal membuktikan elemen penerimaan wang suapan.
“Berdasarkan kegagalan pendakwaan membuktikan elemen penting dalam semua tuduhan dan selepas menilai semua keterangan secara keseluruhan, pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan,” katanya.
Mengenai isu perbicaraan tidak adil dan pendakwaan terpilih dibangkitkan pihak pembelaan, beliau berkata, perkara itu tidak timbul sama sekali dalam kes tersebut dan menolak hujah pembelaan kerana tidak mempunyai merit.Sebelum mengakhiri penghakiman, Mohd. Yazid menegaskan, beliau mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan komen luar sejak hari pertama mengendalikan kes itu.
Menurutnya, beliau mengingatkan diri sendiri untuk berhati-hati di dalam membuat keputusan itu setelah meneliti keseluruhan bukti dan hujahan.
“Ia adalah kewajipan saya untuk menegakkan keadilan,” katanya.
Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.
Ahmad Zahid, 69, diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.
Sebelum ini, beliau dibebaskan atas jamin sebanyak RM800,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.- UTUSAN










