acara akan bermula dan berakhir di d'Tempat Country Club,

Acara berbasikal Sukma 2022: Beberapa jalan utama di Seremban, PD ditutup

RUSLAN KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Beberapa jalan utama di daerah ini termasuk di Nilai dan Port Dickson akan ditutup secara berperingkat pada 14 September ini iaitu esok sehingga 17 September ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, penutupan jalan tersebut bagi memberi laluan acara berbasikal lebuh raya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 diadakan.

Menurut beliau, pada 14 September akan diadakan Acara Berbasikal Lebuh Raya (Ujian Masa Perseorangan Lelaki dan Wanita) yang akan bermula pukul 9 pagi.

Katanya, acara akan bermula dan berakhir di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan dan akan melalui beberapa jalan utama di sekitar kawasan tersebut termasuk Pangkalan Udara Sendayan, Persiaran Hijayu, Jalan Tech Valley dan Taman Eka Matahari.

Tambah beliau, pada 15 September pula, akan diadakan acara Berbasikal Lebuh Raya Lepas Beramai-ramai Kategori Lelaki yang melibatkan perlumbaan sejauh 158.5 kilometer.

“Ia akan bermula pada pukul 9 pagi di d’Tempat Country Club dan melalui beberapa jalan termasuk di Bandar Springhill, pekan Lukut, Persiaran Pahlawan di Port Dickson seterusnya ke Rantau melalui Jalan Sri Rusa-Air Kuning.

“Perlumbaan seterusnya melalui Jalan Seremban-Tampin, Jalan Rahang menuju pekan Pantai dan melalui Jalan Temiang-Pantai. Seterusnya akan menuju ke Mantin, Nilai dan kembali ke Bandar Sri Sendayan sebagai lokasi penamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ruslan, acara Berbasikal Lebuh Raya Lepas Beramai-ramai Kategori Wanita pula melibatkan perlumbaan sejauh 113.5 kilometer akan berlangsung pada 16 September bermula pukul 8.30 pagi.

“Ia juga akan bermula di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan seterusnya ke Telok Kemang dan Pasir Panjang dan menuju ke pekan Linggi.

“Dari situ akan menuju pula ke Rantau seterusnya ke bulatan Mambau dan kemudian menghala ke Jalan Felda Sendayan seterusnya kembali ke lokasi penamat iaitu d’Tempat Country Club,” katanya.

Tambah beliau, pada 17 September pula, diadakan acara Berbasikal Lebuh Raya Kriterium Lelaki dan Wanita yang akan bermula pukul 9 pagi yang melalui beberapa jalan di Bandar Sri Sendayan dengan lokasi permulaan dan penamat juga di d’Tempat Country Club.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan hendaklah memberikan kerjasama dan mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas pada tarikh tersebut,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN