MUAR: Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 134.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan di Pagoh, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.40 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu lori kontena, K. Gunalan, 45, dan pemandu kereta Proton Wira, Senawi Jelani, 55.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Mohd. Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian yang membabitkan dua lori kontena, sebuah treler serta Proton Wira itu pukul 4.48 pagi.
“Sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari BBP Pagoh dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Bukit Gambir dikejarkan ke lokasi.
“Tindakan awal operasi adalah mengeluarkan Gunalan dan Senawi yang tersepit dalam kenderaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohd. Fadli berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan manakala dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat pada pukul 7.09 pagi. –UTUSAN