MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) giat memantau 186 lokasi berisiko dilanda fenomena kepala air pada fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November ini.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tumpuan utama ialah di Kedah kerana corak hujan yang berbeza tahun ini menyebabkan berlaku kepala air berskala besar seperti di Baling dan Titi Hayun di kaki Gunung Jerai.
“Tumpuan utama hanyalah di kawasan yang mempunyai jeram yang mana hulunya masih ada lagi kerana kawasan ini dikenal pasti berpotensi berlakunya kepala air berskala besar.
“Antara langkah diambil ialah anggota JBPM akan mula membuat pemantauan di kawasan berisiko tersebut bermula November ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Pengurusan Bencana peringkat negeri yang telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Pantai Puteri dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, daripada segi pengisian jawatan, setakat ini, ia sudah mencapai 96 peratus dengan pengambilan seramai 1,000 anggota baharu.
Mengulas berkaitan logistik udara pula, beliau berkata, sebanyak sembilan buah helikopter akan membantu di tiga buah pangkalan iaitu tujuh di Subang, Selangor manakala setiap satu pula di Bertam, Pulau Pinang dan Miri, Sarawak.
“Sebanyak RM3 juta diperuntukkan JBPM bagi membeli pelbagai aset dan logistik menghadapi bencana banjir pada fasa peralihan Monsun Timur Laut.
“Antara aset itu adalah 60 buah bot khas banjir di kawasan perbandaran dan 100 unit pencahayaan.
“Ia telah diagihkan kepada enam buah negeri yang dijangka dilanda banjir besar terutama Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak,” jelasnya. –UTUSAN