fbpx

174 mangsa sindiket tipu kerja masih terkandas di luar negara

tahanan
PDRM menasihati orang ramai tidak ditipu dengan sindiket tawaran kerja di luar negara.

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM)  setakat ini menerima sebanyak 224 laporan  berkaitan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara. 

Daripada jumlah laporan itu, seramai 284 orang menjadi mangsa melibatkan 174 orang masih terkandas di negara-negara luar manakala 110 individu lagi telah diselamatkan serta dibawa pulang. 

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, kesemua laporan polis itu dibuat oleh  ahli keluarga dan rakan mangsa yang diperdaya sindiket-sindiket untuk bekerja di luar negara. 

Menurut beliau, pihak PDRM akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Polis ASEAN (Aseanapol) dan Polis Antarabangsa (Interpol). 

“Ini bagi menangani penipuan tawaran kerja di luar negara kepada  rakyat Malaysia. PDRM juga terlibat dalam jawatankuasa khas yang turut diterajui Kementerian Luar.

“Masyarakat dinasihati  berhati-hati terutamanya ketika menerima tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial melalui mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Noorsiah meminta  orang ramai membuat semakan mengenai kesahihan dan ketulenan maklumat majikan di lua negara menerusi Kementerian Luar.

“PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan agar tindakan dapat diambil,” ujarnya.- UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN