Tujuh ditahan terbabit sindiket edar dadah - Utusan Malaysia

Tujuh ditahan terbabit sindiket edar dadah

ANTARA dadah dirampas dalam Op Ophelia pada Khamis dan Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan di sekitar ibu negara pada Khamis dan Jumaat lalu. 

Kegiatan sindiket yang menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu terbongkar melalui Op Ophelia oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut bergerak aktif di utara Semenanjung dan Lembah Klang. 

Katanya, serbuan pertama dijalankan di lobi hotel Kampung Baru dan menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 32 dan 39 tahun.

“Pemeriksaan lanjut turut menahan lelaki berusia 32 tahun di dalam bilik hotel dan  merampas satu kilogram (kg) dadah jenis ganja serta 958 gram syabu.

“Penahanan suspek itu membawa kepada serbuan ketiga di sebuah kondominium dan menahan tiga lelaki berusia 23 hingga 27 tahun serta merampas 30 kg ganja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata, sindiket tersebut dipercayai bergerak aktif sejak empat bulan lalu dengan menjadikan kondominium dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah.

Katanya, siasatan juga mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari negeri di utara Semenanjung lalu dihantar ke Kuala Lumpur untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Semua suspek tidak bekerja dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama mereka.

“Semakan juga mendapati enam suspek memiliki rekod jenayah lampau dan kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN