PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan membentangkan tiga Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta pada sesi Dewan Rakyat akan datang bagi mengawal selia komuniti p-hailing di negara ini.
Ia membabitkan pindaan bagi Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, RUU itu penting bagi membolehkan kementerian itu mempunyai punca kuasa mengawal selia sepenuhnya p-hailing seperti mana dilakukan kepada perkhidmatan e-hailing.
Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos lalu juga bersetuju supaya kementerian itu dan agensi di bawahnya termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak untuk turut mengawal selia p-hailing.
“Sektor ekonomi gig semakin berkembang di negara ini justeru, p-hailing perlu dikawal selia supaya sektor perkhidmatan ini berdaya saing dan kompetitif untuk tempoh masa panjang selain melindungi kebajikan penunggang.
“Antara pindaan lain dicadangkan termasuk memastikan penunggang p-hailing mendapat perlindungan insurans dan meminda had umur penunggang tidak kurang dari 18 tahun berbanding 21 tahun ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, jika RUU diluluskan kelak, pihaknya juga akan mewajibkan setiap penunggang p-hailing mempunyai Lesen Vokasional (GDL) seperti mana Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) oleh pemandu e-hailing.
Ka Siong berkata, GDL dicadangkan bukan untuk membebankan p-hailing sebaliknya bagi mendapatkan jumlah sebenar komuniti itu di negara ini selain melengkapi mereka dari aspek peraturan dan keselamatan di jalan raya.
“Saya faham ada yang minta jangan dikenakan GDL tetapi mereka sebenarnya kena patuh dan bekerja dengan selamat. Justeru, ia perlu dikawal selia supaya tidak bercelaru pada masa depan,” katanya.
Katanya, beliau turut meminta semua bahagian dan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan supaya memulakan sesi libat urus bersama komuniti dan pengendali p-hailing (EHO) bagi mendapatkan pandangan seimbang mengenai cadangan pindaan RUU itu.
Dalam perkembangan lain, Ka Siong berkata, beliau juga mengarahkan supaya APAD, Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan, komuniti e-hailing dan EHO supaya duduk berbincang selama tiga bulan bagi membincangkan isu-isu yang membelenggu industri itu selepas tiga tahun dikawal selia kementerian.
“Setelah tiga tahun dikawal selia kementerian ini, kajian mendapati 90 peratus pengguna di negara ini menggunakan perkhidmatan e-hailing berbanding 10 peratus bagi perkhidmatan teksi,” katanya.
Terdahulu, Ka Siong mengadakan sesi dialog bersama Persatuan Penghantar P-Haling Malaysia (PENGHANTAR), penunggang p-hailing daripada pelbagai syarikat dan juga wakil vendor, Malaysia Food Delivery Association bagi mendapatkan pandangan mengenai pindaan RUU itu. – UTUSAN