BALIK PULAU: Polis Pulau Pinang mengesahkan tiada aktiviti lumba haram membabitkan mat rempit terutama pada malam hujung minggu di kawasan panas yang dikenal pati di seluruh negeri itu susulan pemantauan berterusan.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, sejak tiga minggu lalu pihaknya mendapati peratusan aktiviti membabitkan lumba haram oleh kumpulan bermotosikal telah menurun dengan mendadak.

”Pihak polis telah mengambil langkah yang proaktif dalam menangani isu membabitkan mat rempit, pemantauan berterusan dijalankan bagi membanteras kegiatan ini selepas berlaku kemalangan maut membabitkan lumba haram.
”Hasil pemantauan yang dijalankan, kita dapati aktiviti mat rempit di 13 kawasan panas seperti di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan lain-lain telah berkurangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, di sini hari ini.
Pada bulan lalu, seramai lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dekat sini.
Menurut polis, kejadian itu dipercayai akibat kegiatan lumba haram dan susulan kejadian itu juga, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda dengan hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit.
Menurut Fisol, polis menasihatkan semua pihak terutama ibu bapa bekerjasama bagi memastikan anak masing-masing tidak terlibat dengan aktiviti rempit yang tidak berfaedah.
”Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak mereka terutama remaja berusia 18 tahun ke bawah.
“Sekiranya mereka berada di luar rumah pada waktu yang tidak sepatutnya seperti sehingga pukul 3 pagi, ibu bapa patut bertindak mengawal mereka,” katanya.
Dalam pada itu beliau menambah, polis juga berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa remaja di bawah 18 tahun yang ditahan kerana melakukan kesalahan terutama melibatkan aktiviti rempit.
“Institusi kekeluargaan itu sangat penting, jadi ibu bapa perlu memantau kegiatan anak-anak mereka sekiranya tidak mahu tindakan diambil ke atas mereka,” katanya. –UTUSAN