SEPANG: Pengemudian kenderaan darat dengan stereng sebelah kanan bukan faktor utama kadar kemalangan jalan raya negara ini melonjak setiap tahun seperti didakwa pihak tertentu.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Datuk Dr. Khairil Anwar Abu Kassim ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.
“Memang tiada bukti pun secara saintifik yang menyokong teori tersebut,” tegas beliau yang juga merupakan Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Terdahulu, beliau hadir menyaksikan majlis pecah tanah Litar Ujian Teknologi Miros (MT3) oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang dijangka siap pada akhir tahun ini.
Tapak itu yang bakal dilengkapi litar sepanjang satu kilometer merupakan fasiliti pertama seumpamanya di Malaysia dan rantau Asia Tenggara serta ada kemudahan makmal serba moden.
Baru-baru ini, segelintir warganet tempatan mendakwa kononnya kadar nahas di seluruh negara naik mendadak kerana stereng kenderaan darat terletak di sebelah kanan yang sukar dikemudikan.
Situasi itu disebabkan majoriti pemandu bukannya tangan kidal apabila memegang gear untuk menukar transmisi manakala lampu depan khasnya kereta tidak direka untuk laluan arah kiri.
Ramai pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman mereka memandu di negara yang stereng sebelah kiri dan mendakwa corak pengemudian lebih stabil dan kurang risiko nahas.
Mengulas lanjut, Khairil Anwar menyangkal teori yang disebarkan netizen itu konon 80 peratus daripada kemalangan di dunia pada masa ini berlaku di negara pemanduan kemudi kanan.
“Saya pun tidak tahu dari sumber mana kajian itu dipetik mereka sebab negara maju seperti Australia, Britain dan New Zealand catat kadar nahas tahunan yang amat rendah,” jelasnya.
Ketika ini, hanya tinggal 75 negara masih mengamalkan pemanduan kanan setelah 34 negara lagi sudah beralih kepada stereng kiri yang menjadikan jumlah keseluruhannya 165 negara.
Sebahagian besar bekas jajahan Britain namun ada yang bukan antaranya ialah Jepun, Papua New Guinea, Timor Leste, Mozambique, Suriname serta Hong Kong dan Macau di China.
Di rantau Asia Tenggara pula, selain Singapura dan Brunei, dua lagi negara yang tidak pernah dijajah Britain turut mengamalkan pemanduan stereng kanan iaitu Thailand dan Indonesia.
Ditanya mengenai punca kemalangan, Khairil Anwar menegaskan, kebanyakan kes tersebut boleh berlaku lebih kepada sikap dan cara pengemudian oleh si pemandu itu sendiri.
Ini ujarnya, termasuk memandu dalam situasi tidak sabar, marah, mengantuk, leka berbual selain perbuatan leka kendiri seperti cuba menjawab panggilan telefon atau membalas mesej.
Bagaimanapun tambahnya, keadaan kenderaan kurang diselenggara dengan baik, situasi bentuk jalan yang berbahaya dan cuaca buruk turut menjadi penyumbang kepada rekod nahas.
Justeru, beliau membayangkan kurikulum institut memandu di negara ini pada masa akan datang mungkin perlu lebih menitikberatkan aspek pemanduan defensif kepada persekitaran.
“Langkah sebegini wajar diterapkan pengajar di sekolah memandu berbanding teknik kerana ia boleh ditambah baik berdasarkan pengalaman bagi elak nahas tidak dijangka,” katanya. –UTUSAN ONLINE