SPRM, AMAR sebar mesej anti rasuah kepada 1 juta mahasiswa

SPRM, AMAR sebar mesej anti rasuah kepada 1 juta mahasiswa

NORAZLAN Mohd Razali (berkot biru) bergambar bersama 118 anggota dan pemimpin AMAR dari seluruh negara yang menyertai Konvensyen AMAR Kali Ke-8 Tahun 2022 dekat Banting di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyasar untuk menyampaikan mesej kepada sejuta mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usaha melahirkan generasi muda yang berintegriti dan benci rasuah.

Usaha penyampaian mesej tersebut termasuklah mengadakan kerjasama strategik dengan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) untuk melaksanakan program pencegahan rasuah dengan strategi berkesan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali berkata, pelbagai kajian oleh para ilmiah dan pertubuhan antarabangsa mendapati pergerakan seumpama AMAR ini merupakan komponen penting dan mampu menarik sokongan daripada pertubuhan dalam dan luar negara.

“Sehubungan dengan itu, pelaksanaan program pencegahan rasuah harus dilaksanakan dengan strategi berkesan dan efisyen supaya visi AMAR untuk mewujudkan generasi muda yang membenci rasuah dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah akan dapat direalisasikan.

“Sebagai contoh, pergerakan antirasuah diterajui pelajar di Thailand iaitu Thai Youth Anti-Corruption Network yang ditubuhkan pada 2012 mendapat sokongan kuat daripada United Nations Development Programme dan kerjasama sektor swasta lain seperti Thai Chamber of Commerce, Thai Bankers Association dan Stock Exchange of Thailand (SET),” katanya

Beliau menyatakan demikian  ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Konvensyen AMAR 2022 kali ke-8 di Kem El- Azzhar hari ini.

Pada majlis itu seramai 118 mahasiswa terdiri daripada pemimpin-pemimpin AMAR dari pelbagai institut pengajian terlibat dalam konvensyen selama tiga hari yang bermula sejak Jumaat lalu.

Sementara itu, Presiden AMAR dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Raihana Azizee, 23, berkata beliau merancang untuk menganjurkan seminar dan kursus memfokuskan kepada misi dan visi AMAR melibatkan lebih 71 ahli AMAR di UMS.

Beliau berkata, banyak manfaat diperoleh menerusi konvensyen ini seperti bertukar pendapat dan maklumat untuk mengadakan seminar yang berskala besar pada masa akan datang.

Sementara itu Presiden AMAR dari Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur, Asniati Ambo, 22, memaklumkan, mendekati rakan sebayanya melalui aplikasi TikTok dengan mengadakan pertandingan video bertemakan integriti sempena bulan kemerdekaan.

“Walaupun, kelab AMAR baru ditubuhkan tahun lalu, kami sentiasa mengadakan slot ceramah dan kuiz integriti setiap kali pendaftaran pelajar baru diadakan,” ujarnya.

Bagi Presiden AMAR Smart College Kuala Lumpur, Nik Muhammad Aizat Aiman Abdullah, 20, berkata dia bercadang menganjurkan lebih banyak program untuk menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai kelab AMAR ini.

“Kita harus mengajar mereka membenci rasuah dari sekarang dan apabila mereka keluar selepas tamat belajar, mereka akan menjadi mahasiswa yang antirasuah,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya