Skop pemberian tablet PerantiSiswa B40 diperluas

Skop pemberian tablet PerantiSiswa B40 diperluas

PENGAGIHAN baki Peranti Siswa kepada 51,083 penerima akan dilaksanakan menerusi dua bentuk sesi agihan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skop kelayakan pemberian tablet program PerantiSiswa diperluaskan lagi kepada empat lagi kategori pelajar B40.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, empat kategori itu ialah pelajar program asasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pelajar program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), pelajar semester 1 dan 2 sekolah menengah (Tingkatan 6) di bawah KPM dan pelajar yang mengikuti program di Kolej Vokasional yang menawarkan pengajian diploma.

“Semua kategori ini boleh membuat permohonan mulai hari ini sehingga 30 September,“ katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) meminta kerajaan menjelaskan mengenai status pemberian tablet melalui program PerantiSiswa dan jumlah tablet yang bakal diagihkan kepada pelajar daripada golongan B40 setakat ini.

Sebelum ini, Annuar memaklumkan pelajar golongan B40 yang layak memohon program berkenaan ialah mereka yang mengikuti program sepenuh masa diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda di IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di bawah kendalian KPT, pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah KPM, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah KPM dan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Mengenai isu tender, Annuar berkata, jawatankuasa perolehan telah memilih tablet jenama Samsung bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

”Bagi memastikan proses rayuan dibuat dengan teratur, kita akan melibatkan kepimpinan persatuan mahasiswa di IPT untuk membuat proses pengesahan manakala bagi pelajar sekolah, pemimpin tempatan termasuk Ahli Parlimen akan dilibatkan.

”Satu jadual akan disiapkan dan akan diedarkan kepada pemohon yang berjaya pada hujung bulan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN