SKM bantu Kowata, perkasa ekonomi golongan OKU -

SKM bantu Kowata, perkasa ekonomi golongan OKU

ZAZALI Haron (tengah) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Kowata, Zakaria Salleh (kanan) pada majlis perasmian butik dan bengkel kraftangan Kowata di Marang, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan peruntukan sebanyak RM120,000 kepada Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad (Kowata) bagi  memperkasakan lagi ekonomi golongan orang kurang upaya (OKU).

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Zazali Haron berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM100,000 telah diluluskan melalui geran bantuan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi pada tahun lalu.

“Ia bagi membiayai kos ubah suai butik, bengkel serta kelengkapan jahitan dan fotografi milik koperasi tersebut.

“Pada tahun ini pula, SKM meluluskan bantuan Program Dagang Produk dan Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (E-Dapat) kepada Kowata sebanyak RM20,000 untuk membiayai pengiklanan dan pemasaran produk secara atas talian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan butik dan bengkel kraftangan Kowata di sini, semalam.

Tambahnya, SKM juga amat menggalakkan Kowata dalam federasi koperasi untuk memperluaskan lagi pasaran produk ke koperasi seluruh negara.

“Konsep federasi ini maksudnya dua atau tiga koperasi yang menjalankan perniagaan sama contohnya produk kraftangan digabungkan supaya boleh mengeluarkan produktiviti dengan lebih besar.

“Ia seterusnya dapat memperkasakan daya saing sesebuah koperasi dengan kerjasama itu sekali gus mengurangkan fungsi orang tengah yang ingin memanipulasi harga,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan Kowata yang mampu berdikari perlu dijadikan inspirasi untuk lebih banyak koperasi yang turut dianggotai OKU di seluruh negara.

“Memang ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana tenaga pengajar turut banyak berkorban melatih OKU untuk mahir dalam bidang jahitan selama berbulan-bulan.

“Namun, mereka sudah membuktikan kejayaan cemerlang melalui hasil jualan purata RM10,000 setiap bulan selama ini dan pastinya SKM akan terus membantu melalui pelbagai peruntukan yang ada,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN