KANGAR: Pindaan terhadap undang-undang membabitkan penggunaan ketum dan ganja perlu mengambil kira aspek penyalahgunaan dalam kalangan masyarakat sebelum sebarang penetapan dibuat.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pindaan terhadap undang-undang itu mungkin dilihat baik, namun, bagi tempoh masa panjang ia berkemungkinan akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Katanya, sebarang pindaan perlu diteliti dengan sebaiknya dengan mengambil kira laporan analisis yang seimbang berhubung pelaksanaan tersebut.
“Sebagai contoh di New Orleans, Amerika Syarikat, penggunaan ganja dibenarkan, namun, masalah jenayah di sana juga turut meningkat agak tinggi dan masyarakatnya juga bergantung hidup kepada ganja bagi memenuhi ketagihan, itulah realitinya,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum ditubuh bagi melihat bukti terkini mengenai penggunaannya terutama untuk tujuan perubatan.
Dalam pada itu, Azlan berkata, pindaan bagi membenarkan tanaman ketum dan ganja sememangnya bakal memberi nilai komersial dan faedah dalam perubatan, namun aspek-aspek lain seharusnya diberi keutamaan.
Ujar Azlan, beliau tidak menentang pelaksanaan pindaan itu, namun satu kaedah atau mekanisme bersifat kerangka perundangan perlu diwujudkan bagi mengekang penyalahgunaan bahan berkenaan.
“Itulah yang selalu saya timbulkan dalam setiap pandangan yang saya lontarkan sebelum ini kerana penyalahgunaan bahan ini akan memberi kesan negatif kepada masyarakat,” katanya. –UTUSAN ONLINE










