PUTRAJAYA: Satu daripada 20 kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun dianggarkan mengalami gangguan mental termasuk gangguan tumbesaran.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 turut melaporkan satu daripada lapan remaja berusia 10 hingga 19 tahun turut mengalami masalah sama.
Menurut beliau, antara faktor risiko kesihatan mental yang lemah adalah pendedahan terhadap keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesunyian dan pengasingan sosial yang berleluasa.
Jelasnya, kesihatan mental kanak-kanak dan remaja adalah salah satu isu kesihatan yang paling diabaikan di seluruh dunia dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan 10 hingga 20 peratus daripada mereka mengalami keadaan kesihatan mental yang lemah.
“Kesihatan mental yang lemah boleh memberi kesan mendalam kepada kesihatan umum, kebolehan pembelajaran dan penyertaan kanak-kanak sekali gus mengehadkan peluang mereka untuk mencapai potensi penuh mereka.
“Mereka yang terjejas memerlukan sokongan yang teliti untuk membangunkan kemahiran sosial dan emosi mereka untuk menjalani kehidupan yang sihat dan memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang media selepas merasmikan Laporan dan Infografik Negara Malaysia 2022: Memperkukuh Sistem dan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) untuk Kanak-kanak dan Remaja di Rantau Asia Timur dan Pasifik.
Jelas Noor Azmi, kajian NHMS yang dijalankan setiap lima tahun turut melaporkan seramai 424,000 kanak-kanak mengalami masalah mental dan tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.
Mengulas lanjut mengenai MHPSS, Noor Azmi berkata, laporan itu merupakan yang pertama di rantau Pasifik dengan memfokuskan kepada kanak-kanak dan remaja berusia sehingga 18 tahun di Malaysia, Thailand, Filipina dan Papua New Guinea yang ditaja oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Laporan MHPSS merupakan ringkasan perundingan dan temu bual dengan 124 pihak berkepentingan daripada sektor kesihatan, keadilan, kebajikan sosial, pendidikan termasuk badan kerajaan dan bukan kerajaan, agensi PBB dan wakil belia.
“Ia mengetengahkan mengenai akses sukar atau terhad kepada perkhidmatan untuk masalah kesihatan mental, kekurangan pemerkasaan dalam undang-undang dan dasar sedia ada, kekurangan dalam komunikasi dan penyelarasan antara sektor dan pembiayaan yang tidak mencukupi,” ujarnya.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) turut komited untuk menterjemahkan penemuan penyelidikan MHPSS ke dalam bentuk dasar dan amalan.
“Semasa membangunkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), KKM menggesa semua pihak berkepentingan dan pakar daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk memudahkan kerjasama dan penyelarasan yang lebih erat dalam pelaksanaan MHPSS untuk kanak-kanak dan remaja di Malaysia.
“Kesihatan mental yang lemah boleh memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan, pembelajaran dan penyertaan kanak-kanak dan remaja sekali gus mengehadkan peluang mereka untuk mencapai potensi penuh,” katanya. –UTUSAN ONLINE