BALIK PULAU: Tindakan tiga remaja yang menunggang motosikal dalam aksi yang mencurigakan dan tidak mengikut lorong motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini akhirnya mengundang padah selepas mereka ditahan polis semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, ketiga-tiga remaja berusia 13,16, dan 17 tahun itu dipercayai menunggang dua buah motosikal dari Batu Gajah, Perak untuk pulang ke rumah masing-masing di sini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan lanjut mendapati sebuah motosikal yang digunakan oleh remaja berusia 17 tahun adalah motosikal curi, malah seorang remaja berusia 13 tahun membonceng motosikal itu.
”Motosikal yang digunakan suspek berusia 17 tahun tersebut didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu, dan dia juga tidak mempunyai lesen.
”Semakan rekod mendapati motosikal itu telah dilaporkan hilang di Teluk Kumbar pada bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, di sini hari ini.
Menurut Fisol, dua remaja iaitu berusia 13 dan 17 tahun didapati masih bersekolah manakala remaja berusia 16 tahun tidak bersekolah.
“Remaja berusia 16 tahun ini memiliki lesen dan motosikal yang digunakan telah didaftarkan atas namanya sendiri.
”Polis mengeluarkan empat saman ke atas remaja terbabit tersebut kerana beberapa kesalahan termasuk mengubah suai motosikal yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan,” katanya.
Tambahnya, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan polis menyita kedua-dua motosikal untuk siasatan lanjut.
”Permohonan reman ke atas suspek berusia 17 tahun dibenarkan mahkamah selama empat hari manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis,” –UTUSAN