PETALING JAYA: Proses pendakwaan dalam kes kepincangan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dibuat secara menyeluruh dan telus, bukannya sekadar untuk menutup cerita.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Biro Guaman Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, siasatan terhadap projek itu perlu dibuat secara telus dan proses pendakwaan perlu dibuat tanpa mengira siapa yang terlibat.
Menurutnya, proses pendakwaan yang dilakukan ketika ini dilihat hanya ‘secubit’ dan bukannya secara keseluruhan namun tiada kepastian sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan pendakwaan lagi atau sebaliknya.
“Sebelum ini, saya sudah keluarkan kenyataan tentang keperluan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kerana apa yang kita lihat hari ini, pendakwaan hanya melibatkan puluhan juta dan tidak sampai 0.2 peratus daripada kos keseluruhan RM6 bilion.
“Bagaimana dengan salah laku lain dalam projek LCS? Itu yang menjadi persoalan, apa matlamat sebenar SPRM yang mula melakukan pendakwaan, adakah sekadar untuk menutup cerita atau ada lagi siasatan menyeluruh yang akan dilakukan sehingga ke akar umbi?” soalnya.
Semalam, bekas Panglima TLDM, Panglima (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor yang juga bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dana sebuah syarikat perkapalan berjumlah RM21.08 juta berkaitan perolehan projek pembinaan LCS.
Bagaimanapun, bekas Panglima TLDM itu mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussain sebelum dia dibebaskan dengan Jaminan RM500,000.
Skandal kepincangan projek perolehan LCS itu menarik perhatian ramai apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan tiada kapal diterima setakat ini walhal TLDM sepatutnya menerima LCS pertama pada April 2019 setelah membuat bayaran RM6.083 bilion.
Dalam pada itu, katanya, SPRM juga perlu telus dengan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan siasatan mereka dalam siasatan projek LCS bagi mengelak timbul persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN










