KANGAR: Polis merampas ketulan mampat ganja seberat tujuh kilogram dalam sebuah sampan kayu yang hanyut pada kedudukan 0.5 batu nautika dari Pulau Brasmana di sini hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, Pasukan Polis Marin Langkawi, Wilayah Satu telah menemukan sampan berkenaan sekitar pukul 2 pagi dan mendapati terdapat satu guni berwarna putih mengandungi tujuh bungkus plastik ketulan ganja mampat berkenaan.
Katanya, polis juga bertindak merampas ganja tersebut yang dianggarkan bernilai RM17,500.
“Sampan kayu berkenaan turut ditunda balik ke jeti kastam Kuala Perlis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Perlis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar dapat berhubung dengan Hotline Polis Perlis di talian 04-9872222 atau mana-mana balai berhampiran,” katanya. –UTUSAN ONLINE