Polis bongkar stor simpan minyak bersubsidi - Utusan Malaysia

Polis bongkar stor simpan minyak bersubsidi

POLIS dan penguat kuasa KPDNHEP memeriksa tong dram dipercayai berisi diesel dan petrol bersubsidi di sebuah rumah di Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis berjaya membongkar sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan bahan bakar bersubsidi secara haram di Kampung Kolam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdillah berkata, serbuan dilakukan pada pukul 1.30 tengah hari itu dilakukan dengan kerjasama pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Beliau berkata, pihaknya bertindak selepas seminggu melakukan risikan maklumat di lokasi berkenaan yang menyimpan minyak diesel dan petrol bersubsidi.

“Ketika serbuan dilakukan, pintu rumah dalam keadaan terbuka, namun, tiada berpenghuni. Pemeriksaan di dalam premis menemukan lima tong dram berisi petrol dan diesel bersubsidi yang disorokkan di dalam bangunan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut menemukan diesel (350 liter), petrol (480 liter), dua unit pam sedut minyak serta empat hos getah dengan semua rampasan itu bernilai RM3,066.

Menurut Mohd. Shokri, siasatan awal mendapati premis berkenaan beroperasi selama satu bulan dan rumah berkenaan dijadikan stor simpanan bahan bakar secara haram.

Katanya, siasatan masih diteruskan oleh pihak KPDNHEP berkaitan pemilik pondok dan pengendali minyak haram tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1), Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual LPG tanpa lesen yang sah.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana individu yang terlibat penyimpanan secara tidak sah atau menyeludup apa-apa barang bersubsidi akan diambil tindakan tegas di bawah peruntukan sedia ada. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN