BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja berusia 17 tahun antara tiga lelaki yang diberkas dalam Operasi Samseng Jalanan di kawasan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) kira-kira pukul 12.30 malam, Ahad lalu.
Operasi tersebut dijalankan hasil kerjasama sepasukan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan Pasukan Peronda Lebuhraya Utara 2.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan hari ini.
Katanya, suspek yang masing-masing berusia 17, 19 dan 21 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat lumba haram.
“Ketiga-tiganya juga tidak memiliki lesen memandu dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati mereka tidak memiliki sebarang rekod lampau dan bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT, di sini hari ini.
Dalam operasi yang sama, sebanyak 20 buah motosikal disita manakala 70 saman turut dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan.
Sementara itu, Cheng San berkata, pihaknya berusaha sedaya-upaya menghentikan aktiviti tidak bermoral itu melalui penguatkuasaan yang lebih ketat di beberapa lokasi yang dikenal pasti.
“Kita mahu orang ramai melihat aktiviti ini (lumba haram) ‘menjijikkan’ dan membahayakan bukan sahaja kepada diri mereka tetapi orang lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya remaja supaya tidak melibatkan diri dengan kegiatan berkenaan. -UTUSAN ONLINE