PN Pahang bertanding di kerusi dimenangi PRU14 - Utusan Malaysia

PN Pahang bertanding di kerusi dimenangi PRU14

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerusi-kerusi yang dimenangi oleh gabungan parti politik Perikatan Nasional (PN) Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan kekal ditandingi oleh parti tersebut pada PRU15.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ia dipersetujui bersama parti gabungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan dalam sesi perbincangan sebelum ini.

Menurut beliau, bagaimanapun baki kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain akan dibincang selanjutnya bersama rakan gabungan dalam PN di negeri ini. 

“Formulanya ialah Bersatu tidak akan ambil atau bertanding kerusi yang dimenangi oleh parti sedia ada.

“Begitu juga dengan lapan kerusi DUN yang dimenangi Pas, mereka akan meletakan calon dalam kalangan parti itu untuk bertanding pada PRU15.

“Gerakan tidak akan minta kerusi dimenangi Pas, kita akan tengok kerusi tumpuan dan siapa paling sesuai untuk bertanding,” kata beliau selepas merasmikan Forum Pengundi Muda Penentu Masa Hadapan Negara Sempena Hari Belia Parlimen Indera Mahkota 2022 di sini hari ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata, PN masih menggunakan formula sesuai dan keputusan tersebut  dimuktamadkan di peringkat Majlis Tertinggi PN.

“Ini adalah formula lazim dilakukan oleh mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) yang perlu mendapatkan keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Bagaimanapun, persefahaman rakan gabungan parti PN di negeri ini sangat baik apabila semua perbincangan diadakan secara aman,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN