PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air selepas mengadakan lawatan selama lapan hari ke Turkiye bermula 15 Ogos lalu.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 10.30 pagi tadi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Sejurus tiba, Seri Paduka Baginda menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai, diketuai Mejar Mohd. Noornazmin Abd Rahim dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das serta lagu Negaraku.
Istiadat menyambut keberangkatan tiba itu disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.
Turut menyambut ketibaan baginda adalah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang. –UTUSAN ONLINE