PONTIAN: Gara-gara termakan janji-janji manis oleh rakan wanita yang dikenali sejak 30 tahun lalu, seorang lelaki warga emas berumur 69 tahun kerugian RM96,000.
Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, suspek yang berusia 40 tahun berjanji kononnya akan mendapatkan wang berjumlah RM1.4 juta dari luar negara.

Mangsa mengenali suspek terputus hubungan sejak 20 tahun lalu dan berjumpa kembali pada 2018 di Pontian, seterusnya menjalinkan persahabatan mereka semula.
Suspek meminta mangsa meminjamkan wang bagi tujuan pembayaran kepada peguam, cukai kepada bank dan lain-lain dengan mangsa dijanjikan akan mendapat sebahagian daripada 1.4 juta itu.
“Mangsa yang percaya kepada suspek menyerahkan wang berjumlah RM96,000 secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun 2018 hingga 2020,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Namun, sehingga kini mangsa belum menerima sebarang bayaran yang dijanjikan dan suspek juga menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi lagi.
“Mereka berdua sudah lama berkawan, bukan ‘girlfriend’ hanya kawan biasa, tetapi berjumpa semula pada tahun 2018 dan ketika itulah hubungan mereka bersambung kembali,” ujarnya.
Menyedari mangsa telah ditipu rakan wanitanya, dia telah membuat laporan di Balai Polis Pontian semalam bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan wanita tersebut.
\Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.
Beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan tawaran mendapatkan wang dengan mudah dan tidak masuk akal yang akhirnya merugikan diri mereka. –UTUSAN