Peniaga 'nomad' ekspo tenat, pendapatan merosot -

Peniaga ‘nomad’ ekspo tenat, pendapatan merosot

MOHD. SEFFRI Munir sedang menyusun pakaian wanita sambil menunggu pelanggan ke gerainya di tapak ekspo bandar Inderapura di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang peniaga tapak ekspo di bandar Inderapura di sini, Mohd. Seffri Munir, 57, mengeluh apabila jualannya semakin merosot berbanding beberapa tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Seffri berkata, jualan pakaian wanita yang diceburi sejak 10 tahun lalu cuma meraih pendapatan kurang RM150 sehari kerana ketiadaan pelanggan cuma pada hujung minggu sahaja dia memperoleh kira-kira RM400.

“Selepas memasuki fasa endemik, pendapatan kami dalam kalangan peniaga ekspo di semua tempat mengalami kemerosotan malah tidak pulang modal untuk mendapatkan barang jualan baharu daripada pembekal di Kuala Lumpur.

“Saya tidak tahu sebab apa, hakikatnya kebanyakan ekspo jarang dikunjungi orang ramai. Sekiranya ada tumpuan cuma di sebelah petang, malam dan hujung minggu yang hanya datang untuk berbelanja makanan dan aktiviti permainan kanak-kanak,” katanya di tapak ekspo bandar Inderapura di sini semalam.

Mohd. Seffri yang berasal dari Bagan Datuk, Perak berkata, sebelum pandemik Covid-19 sehingga pada awal tahun ini, dia berniaga secara ‘nomad’ (berpindah-randah) dari sebuah tapak ekspo di bandar dan ke bandar tempat lain seperti di Pekan, Raub, Lipis, Temerloh, Kuantan, tetapi nyata pendapatan kian merosot.

“Pendapatan tidak mencukupi untuk menampung sewa tapak RM2,800 dalam tempoh berniaga antara dua hingga tiga minggu tidak termasuk modal mendapat bekalan barang untuk jualan.

“Sekiranya saya berpindah ke tapak ekspo di bandar lain, perbelanjaan yang perlu saya sediakan, iaitu antara RM300 hingga RM700 untuk menyewa kenderaan membawa barang jualan ke tempat baharu sedangkan tidak ada jaminan pulangan semula wang yang telah dikeluarkan,” katanya.

Suami kepada Norbaiti Ahmad, 48, dan mempunyai tiga orang anak berusia antara 12 hingga 24 tahun selanjutnya berkata, memandangkan pengalaman perit dan kesusahan yang dialami berniaga secara ‘nomad’ antara tapak ekspo di setiap daerah, kini dia memilih untuk bertapak di bandar Jerantut sahaja.

Menurutnya, kebiasaannya gerai jualan pakaian wanita dikunjungi oleh pelanggan yang kurang berpendapatan khususnya kalangan B40 dan penduduk kampung untuk memilih dan berbelanja seluar, baju T, kemeja dan sebagainya yang dijual antara RM20 hingga RM50.

“Mulai awal tahun ini, saya menyewa sebuah premis kecil untuk menempatkan barang jualan yang dikendalikan oleh isteri saya namun pendapatan juga tidak seberapa cuma hanya menampung sewaan sahaja.

“Habis sahaja tempoh ekspo di bandar Inderapura, barang di sini akan dibawa ke kedai isteri saya, manakala selebihnya akan disimpan di rumah sambil menunggu tapak jualan yang baharu sekiranya dibuka di bandar Jerantut tahun ini dan pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Seffri berkata, perniagaannya tidak mampu memperoleh keuntungan yang besar dan perbelanjaan banyak dihabiskan untuk sewa tapak, modal membeli barang jualan daripada pembekal, sewa kenderaan dan selebihnya ala kadar untuk keperluan dapur dan persekolahan anak.

“Mana mampu saya mahupun kalangan peniaga ekspo yang lain untuk membeli premis walaupun seluas ‘kangkang kera’ kerana harganya mahal dan sekiranya menyewa pun perlu memilih tempat yang strategik,” katanya.

Ditanya kenapa memilih berniaga pakaian wanita, Mohd. Safferi menambah, dia amat sinonim dengan jualan tersebut sejak awal bermula 10 tahun lalu serta sudah mahir dengan keperluan dan ‘selera’ pelanggan (wanita) memilih sesuatu jenama.

“Alah bisa, tegal biasa, apapun saya masih dalam keluarga peniaga ekspo dan tetap menjalankan aktiviti ini bukan untuk menjadi kaya-raya, tetapi sekadar untuk berbelanja keperluan dapur, menyewa tempat tinggal dan persekolahan anak,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya