SEREMBAN: Seorang pembantu penguat kuasa sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini ditahan reman di Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki menerima lima pasang cermin mata bernilai lebih RM1,000 dari sebuah premis di negeri ini.
Difahamkan, cermin mata itu dipercayai sebagai habuan supaya premis menjual barangan itu tidak dikenakan tindakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Majistret, Intan Syafinaz Ros’lin menetapkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Ogos depan terhadap lelaki berusia 49 tahun tersebut.
Menurut sumber, suspek yang diwakili peguam, Mohd. Redzuan Hakiim dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar bulan Ogos 2020 ketika berkhidmat di sebuah majlis daerah.
Terdahulu, suspek ditahan di sebuah pejabat majlis daerah dan dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan sebelum ditahan pada pukul 2.50 petang semalam.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) SPRM 2009.- UTUSAN










