MELAKA: Kira-kira 50 keluarga yang mendiami Kampung Seberang Anak Air dan Kampung Solok Paya Baru di Ayer Molek di sini dirundung keresahan sejak sebuah projek perumahan baharu dibangunkan di kawasan berhampiran, empat bulan lalu.
Sikap pemaju yang didakwa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) pembinaan mendatangkan pelbagai kesukaran kepada penduduk antaranya masalah hakisan tanah yang membawa bersama selut di atas jalan raya, banjir dan isu lalu-lintas.
Wakil penduduk kampung, Danial Yaacob, 37, berkata, tambakan dilakukan pemaju di tapak berkenaan menggunakan tanah merah tanpa kepungan penghadang zink dan sistem perparitan yang sempurna menyebabkan selut memenuhi jalan raya tiap kali turunnya hujan.
Dakwanya, perkara itu jelas menyusahkan penduduk kampung yang menggunakan jalan tersebut, memandangkan ia boleh dianggap sebagai jalan utama kerana turut digunakan orang luar terutama yang bekerja di Kawasan Perindustrian Serkam dan kilang-kilang berhampiran.
Kata Danial lagi, lori-lori yang terlibat dengan projek itu juga dibiarkan bebas bergerak tanpa kawalan lalu-lintas sehingga membahayakan pengguna jalan raya terutama ketika waktu puncak untuk menghantar anak ke sekolah.
“Majoriti penduduk yang bermotosikal terpaksa guna jalan luar yang lebih jauh untuk hantar anak ke sekolah sebab risaukan keselamatan diri. Dari jangka masa 10 minit, kini boleh menjangkau sehingga setengah jam kerana lori-lori ini.
“Kita tak menghalang pembangunan, cuma kenalah ikut SOP sepatutnya supaya tidak menjejaskan orang kampung di sini. Kami sudah buat laporan kepada pihak berwajib seperti polis, namun, setakat ini tiada tindakan,” katanya dalam sidang akhbar khas di lokasi berkenaan.
Dalam pada itu, anak jati Kampung Seberang Anak Air, Misdar Tahir, 63, turut membangkitkan isu longkang konkrit tepi jalan yang didakwa dibina tanpa perbincangan dengan masyarakat sekitar.
Dia berkata, perancangan longkang berkeluasan lima kaki itu dibangunkan tanpa pemasangan penutup yang mana dikhuatiri boleh meragut nyawa pemandu kereta dan lori semasa bertembung ketika melalui jalan berkenaan.
“Longkang konkrit itu dikorek betul-betul tepi jalan. Jalan ini sempit, contohnya bila kereta dan lori bertembung, salah satu perlu merapatkan kenderaan ke bahu jalan untuk beri laluan.
“Bila ada longkang yang terbuka sebegitu tanpa penutup, potensi untuk kereta terjatuh ke dalam longkang memang tinggi. Sebab jalan sempit, bahu jalan turut sempit selepas pembinaan longkang ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, terlalu banyak ‘kepincangan’ dikesan membabitkan projek perumahan berkapasiti 700 buah kediaman itu.
Beliau berkata, agensi bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera, tambahan pula ia melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek yang disandang Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.
“Aspek keselamatan tidak ada sama sekali. Saya minta pihak berkuasa terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri melihat kembali daripada aspek keselamatan penduduk,” katanya. –UTUSAN ONLINE