MELAKA: Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) akan mula membaiki paip kumbahan yang menjadi punca hakisan tanah dan keretakan struktur rumah di Jalan Ayer Keroh Permai (AKP) 5 dan Jalan AKP 3 di sini, selewat-lewatnya minggu depan.
Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Rohaya Abdullah berkata, hasil siasatan awal jurutera bersama IWK dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini mendapati, kejadian itu berpunca daripada kerosakan paip kumbahan dalam tanah milik IWK.
Menurutnya, hujan sejak beberapa hari lalu memburukkan lagi keadaan menyebabkan kerosakan jalan raya dan rekahan menjadi semakin besar.
Beliau berkata, hasil laporan juga mendapati, kawasan tebing tepi jalan raya di Jalan AKP 5 dan Jalan AKP 3 semakin tidak selamat dan ditutup daripada digunakan buat sementara waktu.
“Banyak kerosakan yang dilaporkan termasuk tebing tepi jalan menjadi berlubang dan jalan raya retak. Ia berpunca daripada kerosakan paip kumbahan dan bukannya paip air Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).
“Hasil perbincangan kerosakan itu adalah di bawah tanggungjawab IWK yang perlu mengorek semula sepanjang jalan raya yang rosak dan membaiki paip kumbahan yang rosak.
“Saya dimaklumkan, IWK perlu membuat penilaian kos membaik pulih paip tersebut serta menurap kembali jalan yang rosak sebelum kerja baik pulih mula dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 15 keluarga yang tinggal di Jalan AKP 5 dan Jalan AKP 3 kecewa apabila masalah hakisan tanah dan keretakan pada struktur rumah yang dihadapi mereka, dipandang sepi pihak berwajib tanpa sebarang tindakan susulan.
Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ayer Keroh Permai, Jenny Lee berkata, tiada satu pun agensi kerajaan yang tampil berhubung dengan pihaknya atau turun padang melihat sendiri masalah keretakan yang berlaku.
Rohaya berkata, MPHTJ pula akan memantau kerja-kerja baik pulih di kawasan berkenaan serta berkerjasama dengan IWK dan SPAN.
Beliau turut memberi jaminan kejadian tersebut tidak akan berulang semula bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit. –UTUSAN ONLINE