KUALA KRAI: Lebih 200 pekebun dari Kampung Sungai Peria dan Kampung Lepan Jenut dekat sini mendakwa kerugian ribuan ringgit selepas tanaman mereka dirosakkan oleh gajah liar sejak awal bulan lalu.
Dakwa penduduk, ancaman gajah liar ini dipercayai berpunca daripada aktiviti penerokaan hutan yang menyebabkan hidupan liar itu mula masuk ke kawasan penempatan penduduk bagi mencari sumber makanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia seorang pekebun Mohd. Irwan Awg Mat, 36, berkata, serangan gajah liar itu menyebabkan dia mengalami kerugian RM50,000 apabila separuh tanaman kelapa sawit yang diusahakannya sejak setahun yang lalu musnah.
Menurutnya, serangan gajah liar itu tampak ketara sepanjang minggu ini apabila sudah banyak tanaman milik penduduk kampung sudah dimusnahkan sekali gus menghadirkan kebimbangan.
“Saya bimbang jika tiada langkah segara diambil berkemungkinan besar lebih banyak lagi tanaman penduduk yang akan musnah. Oleh itu, saya amat berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan dengan memindahkan segera gajah-gajah ini keluar dari kawasan penempatan penduduk,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mohamed Ismail, 63, memberitahu, ancaman gajah itu menyebabkan penduduk takut untuk mengambil hasil tanaman di kawasan kebun masing-masing.
Katanya, sudah lebih sebulan dia tidak dapat masuk ke kawasan kebun susulan ancaman gajah liar itu sekali gus memberi kesan kepada pendapatan penduduk.
“Setakat ini, sudah 1,000 batang pokok pisang yang diusahakan sejak dua tahun lalu dimusnahkan oleh gajah berkenaan,” ujarnya.
Seorang lagi pekebun, Che Ahmad Termizi Che Haron,55, berkata, beberapa langkah awal diambil untuk mengatasi masalah ini termasuk membuat unggun api, namun, gagal menghalau gajah-gajah berkenaan.
“Setiap malam, saya juga terpaksa memberanikan diri untuk meninjau kawasan keadaan di kawasan kebun serta di sekitar rumah,” katanya. –UTUSAN ONLINE










