KOTA BHARU: Pas sedia berdepan dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PR15) dalam usaha mempertahankan tampuk pentadbiran negeri ini selepas parti itu berkeras dengan keputusan untuk bergerak solo.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan pada PRU itu nanti.
Menurutnya, bagaimanapun Pas masih lagi berharap wujud persefahaman dengan UMNO bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru semasa melawan Pakatan Harapan (PH).
“Kita harap pemimpin UMNO boleh faham akan perkara ini. Walaupun UMNO telah putuskan hubungan dengan Pas, namun kita masih belum berbuat demikian (putuskan hubungan).
“Kita tidak menyerang (UMNO) mereka, kalau tengok ucapan-ucapan kita pun, Pas tidak sentuh UMNO. Kita hanya ‘tipah palo sikit-skit’ UMNO (teguran manja),” katanya selepas menjadi ahli panel pada Himpunan Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kedua PN di Dataran Warisan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Mengulas mengenai pertembungan tiga penjuru di negeri ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, melihat kepada rekod tahun-tahun sebelumnya mereka optimis Pas mampu bertahan. –UTUSAN ONLINE