MELAKA: Padah mencederakan bekas kekasih menggunakan pisau sehingga parah, seorang lelaki dijatuhkan enam tahun enam bulan penjara berserta satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Syazwan Mohd. Nasir, 26, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas kekasihnya, Nurshafiqa Zulhainan, 23, menggunakan senjata pisau.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Siti Nur Hidayah Samdin, 25, iaitu rakan kepada bekas kekasihnya menggunakan senjata sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6.20 petang di Jalan Tun Sri Lanang dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Julai lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan dengan alasan menyesal dan memohon maaf kepada mangsa serta keluarga wanita berkenaan.
Tertuduh juga merayu agar kenderaan yang dirampas pihak berkuasa dikembalikan kepada keluarganya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kecederaan parah dialami mangsa.
Mahkamah kemudian menjatuhkan empat tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta dua tahun enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 30 Julai 2022 dan mengarahkan kenderaan dirampas dipulangkan semula kepada keluarga tertuduh.
Pada 30 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, polis memburu seorang lelaki selepas dipercayai menikam bekas kekasihnya menggunakan pisau dan mencederakan rakan mangsa di kaki lima di Jalan Tun Sri Lanang.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di tangan dan dikejarkan ke zon merah Hospital Melaka, manakala rakannya cedera di telinga. –UTUSAN ONLINE