LONDON: Filem ikonik Bollywood, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ) yang dibintangi Shah Rukh Khan dan Kajol meraikan ulang tahun ke-30 dengan satu lagi pencapaian bersejarah apabila sebuah patung gangsa yang menggambarkan watak Raj dan Simran dirasmikan di Leicester Square baru-baru ini.
Patung berkenaan memaparkan Shah Rukh Khan dan Kajol dalam pose tarian daripada lagu popular Mehndi Laga Ke Rakhna, yang menjadi antara babak paling ikonik dalam sejarah perfileman India.
Majlis perasmian itu turut dihadiri sendiri oleh kedua-dua pelakon utama terbabit.
Dalam ucapannya, Shah Rukh Khan berkata, kejayaan luar biasa DDLJ selama tiga dekad berpunca daripada niat yang tulus ketika pembikinannya.
“DDLJ dibuat dengan sepenuh hati. Kami ingin mengisahkan tentang cinta, bagaimana cinta mampu merentasi batasan dan menjadikan dunia tempat yang lebih baik.
“Saya percaya inilah sebabnya filem ini terus memberi kesan mendalam walaupun selepas lebih 30 tahun,” katanya.
Menurut pelakon berusia 60 tahun itu, DDLJ juga merupakan sebahagian besar daripada identiti dirinya sebagai seorang anak seni.
“Secara peribadi, DDLJ adalah sebahagian daripada siapa diri saya.
“Sangat merendahkan hati melihat filem ini, serta hubungan saya dan Kajol, terus menerima kasih sayang sejak hari pertama ia ditayangkan,” katanya.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Shah Rukh Khan turut berkongsi foto dan video sekitar majlis perasmian tersebut.
Pelakon itu tampil segak dalam sut hitam, manakala Kajol mengenakan sari berwarna hijau mint.
“Terima kasih kepada semua pihak di United Kingdom yang menjayakan usaha ini. Jika anda berkunjung ke London, singgahlah bertemu Raj dan Simran. Kami gembira sekiranya anda mencipta lebih banyak kenangan bersama DDLJ,” tulisnya.
Kewujudan patung itu menjadikan DDLJ sebagai filem India pertama yang diabadikan dalam bentuk patung di kawasan bersejarah tersebut, sebaris dengan karya-karya terkenal lain seperti Harry Potter, Mary Poppins, Paddington dan Singin’ in the Rain.
Disutradarai oleh Aditya Chopra, Dilwale Dulhania Le Jayenge mengisahkan percintaan merentasi benua antara dua warga India yang bertemu di Eropah.
Filem yang ditayangkan pada 1995 itu mencipta fenomena luar biasa dan sehingga kini masih memegang rekod sebagai filem Bollywood paling lama ditayangkan di pawagam India.
Selain diabadikan melalui patung, legasi DDLJ turut diperluaskan ke pentas teater apabila filem itu diadaptasi ke dalam bentuk muzikal berjudul Come Fall In Love – The DDLJ Musical yang dipentaskan di Manchester pada awal tahun ini.











