Malaysia mahu 20 teratas dunia Indeks Inovasi Global - Utusan Malaysia

Malaysia mahu 20 teratas dunia Indeks Inovasi Global

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia mengambil langkah intervensi bagi meningkatkan kedudukan Malaysia berada di antara 20 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagaimana cadangan dikemukakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi selari dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut beliau, langkah strategik inovasi turut diwujudkan bagi meningkatkan pengkomersialan teknologi dan inovasi negara berikutan ketidakpadanan bidang tersebut dengan kehendak industri. 

Perkara itu dibangkitkan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara berkaitan teknologi maju dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan pasaran.

Mesyuarat turut mengambil maklum berhubung cabaran dan situasi semasa mengenai bakat sedia ada berdasarkan keperluan industri.

“Pertama, negara menghadapi cabaran dalam mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. 

“Kedua, cabaran untuk mengekalkan dan menarik bakat berkemahiran. Negara berdepan dengan saingan daripada negara-negara maju yang menawarkan gaji yang lebih tinggi untuk menarik bakat berkemahiran ke sektor-sektor yang berpotensi tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk itu, Ismail Sabri berkata, dasar-dasar yang melibatkan sumber manusia dan modal insan akan diteliti semula di semua kementerian berkaitan secara menyeluruh bagi menangani cabaran pasaran buruh. 

Kata beliau, kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara sentiasa bergerak maju kehadapan seiring dengan perubahan teknologi dan memenuhi keperluan semasa pasaran buruh bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. 

“Ia berpaksikan penerimaan dan penggunaan teknologi baharu serta penciptaan dan pembangunan teknologi tempatan di samping terus berusaha membangunkan bakat masa hadapan bagi pertumbuhan yang inklusif dan mapan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya