SEPANG: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dijangka dapat menyiapkan litar ujian jalan yang dinamakan Litar Ujian Teknologi (MT3) sepanjang satu kilometer akhir tahun ini.
Tapak trek pengujian kenderaan darat itu malah bakal dijadikan kompleks agensi berkenaan yang akan dikenali sebagai Mirosplex dengan pelbagai kemudahan moden termasuk makmal.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah MT3 di Bandar KLIA di sini hari ini bahkan teruja dengan fasiliti yang akan dibangunkan di situ.
“Pembinaan litar ini dijangka jadi perintis kepada pelbagai ujian sistem keselamatan aktif dan pasif terhadap kenderaan yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara,” jelas beliau.
Turut hadir menyaksikan majlis julung kali tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Miros, Prof. Dr. Wong Shaw Voon dan Ketua Pengarah Miros, Datuk Dr. Khairil Anwar Abu Kassim.
Utusan Malaysia difahamkan bahawa selama ini kesemua jenis kenderaan darat yang dibawa masuk ke negara ini selain dipasang di Malaysia sendiri perlu menjalani ujian litar luar negara.
Situasi itu disebabkan ketiadaan fasiliti di negara ini dan rantau ASEAN yang menjadikan kos pembuatan sesebuah kenderaan melonjak bagi memenuhi aspek keselamatan ditetapkan.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Mirosplex apabila siap kelak akan turut dilengkapi dengan kemudahan blok pejabat, sejumlah makmal dalaman dan luaran selain kawasan pengujian.
“Ini selari dengan pelantikan Miros sebagai Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN yang akan menyumbang dan mempromosikan pengetahuan dalam kalangan negara serantau,” katanya.
Pembinaan Mirosplex membolehkan Malaysia berkongsi kepakaran keselamatan jalan raya termasuk dari segi aspek undang-undang, data, piawaian, pendidikan dan kesedaran awam.
Beliau menambah, makmal MT3 di kompleks ini pula berpotensi menjadi pemangkin ke arah pencapaian lebih cemerlang sejajar Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN (NCAP).
Selain itu, ujar beliau, kewujudan Mirosplex selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 sebagai bidang keutamaan yang telah dilancarkan pada 27 Januari lalu.
Fasiliti dibina ini, tambah beliau, akan memfokuskan kepada penggunaan kenderaan yang lebih selamat, isu kebolehjalanan sedia ada serta juga aspek keselamatan aktif dan pasif.
“Ia sejajar persediaan Malaysia ke arah penggunaan kenderaan generasi baharu digariskan bagi mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” katanya.
Pada masa sama, Ka Siong berharap, pembangunan litar itu dapat menarik pihak swasta dan agensi awam lain bekerjasama dengan Miros bagi memastikan kenderaan yang lebih selamat.
Kementerian Pengangkutan katanya amat optimis bahawa Mirosplex akan membawa kemajuan signifikan dan menyasarkan semua kenderaan berada di pasaran tempatan perlu bertaraf lima bintang.
Proses penyelidikan dan penilaian lanjut, katanya akan memastikan pengguna kenderaan di Malaysia menikmati standard ketat selaras dengan peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu. –UTUSAN