Malaysia bakal kehilangan golongan profesional - Utusan Malaysia

Malaysia bakal kehilangan golongan profesional

WAN NAZARI WAN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Malaysia bakal kehilangan golongan profesional dalam masa 10 tahun lagi sekiranya hanya segelintir pelajar memilih melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

Ketua Biro Profesional Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Ir.  Wan Nazari Wan Jusoh berkata, perkara tersebut dibimbangi berlaku apabila kebanyakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi.

“Kerajaan perlu membuat kajian terperinci mengenai sebanyak 72.1 peratus lepasan SPM tidak lagi bersedia untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat pengajian yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan sebanyak 328,700 atau 44.8 peratus daripada anggaran 733,000 rakyat Malaysia yang menganggur membabitkan pelajar lepasan SPM.

Semakan data survei Tenaga Buruh 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia itu turut menyenaraikan bilangan graduan yang tidak bekerja seramai 92,300 orang diikuti lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau setaraf (69,400), pemegang diploma (67,900) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta lain-lain atau setaraf (52,700).

Selain itu, Wan Nazari yang juga Ketua Pejuang Terengganu berkata, kekurangan pelajar dalam bidang sains juga menyumbang kepada kehilangan golongan profesional selepas ini.

“Pengerusi National Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Movement, Prof. Datuk Dr. Noraini Idris sebelum ini pernah mendedahkan hanya sebanyak 19 peratus murid-murid negara ini yang memilih aliran STEM pada tahun 2020,” ujarnya.

Pada masa sama, tambahnya, terdapat laporan media mengenai graduan lulusan kejuruteraan gagal memperoleh pekerjaan sesuai dengan kelayakan mereka dalam bidang teknikal.

Jelasnya, keadaan tersebut menyebabkan mereka terpaksa mencari pekerjaan seperti kerani, ejen insurans atau pekerjaan ekonomi gig sebagai cara untuk terus bertahan bagi menampung nafkah dan sara hidup keluarga.

“Konsep memiliki ijazah akademik dalam bidang profesional dilihat sebagai jalan yang optimum untuk kerjaya yang cemerlang, tetapi sesetengah graduan mendapati ini adalah sebaliknya.  

“Walaupun kelayakan profesional ini diperoleh dengan kesusahan dan kepayahan, namun, graduan ini tidak mendapat pekerjaan sesuai,” katanya.

Sehubungan itu,  menurutnya, Pejuang mendesak kerajaan supaya mengambil langkah yang agresif bagi mengenal pasti semua punca masalah tersebut dan segera mencari jalan penyelesaian dengan lebih serius. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya