Majikan wajib ikut Pindaan Akta Kerja 1955 - Utusan Malaysia

Majikan wajib ikut Pindaan Akta Kerja 1955

MOHD. EFFENDY ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) melangkaui kuasa surat tawaran majikan kerana akta itu adalah undang-undang negara yang dibentang, dibahaskan dan diwartakan di Parlimen.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani berkata, justeru, semua syarikat wajib mengikut peraturan akta baharu itu yang mana tindakan perlu diambil ke atas majikan yang mengelak melaksanakannya.

Ini termasuk pindaan terbaharu akta itu berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam ke 45 jam dikuat kuasa pada 1 September ini.

“Pada masa yang sama rakyat harus peka dengan hak mereka dan membuat laporan kepada MTUC, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau pada aplikasi Working for Workers (WFW) sekiranya majikan tidak mengikut peraturan akta tersebut.

“JTK diharap melakukan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan semua majikan mematuhi peraturan baharu akta itu,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dilaporkan berkata, pindaan itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Effendy berkata, pengurangan tempoh kerja itu adalah untuk keseimbangan kehidupan kerja dan keluarga yang mana pekerja akan mempunyai lebih masa untuk meluangkan masa bersama keluarga serta berehat.

“MTUC melihatnya sebagai satu titik peningkatan produktiviti dan kualiti kerja seseorang serta mampu meningkatkan semangat kerja mereka.

“Selaras dengan peningkatan produktiviti mampu memberi lebih keuntungan secara tidak langsung kepada organisasi serta negara,” katanya.

Menurutnya, pengurangan waktu kerja ke 45 jam seminggu adalah satu permulaan yang baik dan sekiranya dapat melihat keberkesanannya, berkemungkinan boleh dikaji semula dari masa ke semasa.

“Banyak kajian oleh pihak antarabangsa dan negara lain membuktikan bahawa pengurangan waktu pekerja dapat menjamin produktiviti yang baik,” katanya.
habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya