TAPAH: Kerajaan Perak tidak akan bertanggungjawab terhadap tuntutan kerugian yang dikemukakan oleh mana-mana pihak ke atas tanah bukan hak milik termasuk tanah rizab.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, orang ramai sepatutnya sedar apabila mereka menggunakan tanah kerajaan tanpa kebenaran, ini mempunyai risiko untuk menanggung kerugian apabila tanah tersebut diambil semula.
“Sesiapa sahaja yang bercucuk tanam guna tanah kerajaan tanpa kebenaran, ada risiko untuk menanggung kerugian apabila kerajaan hendak balik atau pemilik tanah hendak semula, dia terpaksa pergi.
“Tidak ada ganti rugi, sebab tidak ada siapa yang buat silap itu melainkan orang yang menggunakan tanah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Saarani Bersama Bekas Askar (Sebekas) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka di sini, hari ini.
Menurut Saarani, sesiapa sahaja yang ingin menduduki mana-mana tanah, mereka perlu mengenal pasti siapa pemiliknya terlebih dahulu dan sekiranya tanah itu bukan kepunyaan mana-mana pihak, tanah berkenaan merupakan hak milik kerajaan negeri.
“Walaupun kita rakyat Perak, kita tidak boleh sewenang-wenangnya masuk tanah kerajaan kerana tanah kerajaan ini anda perlu mohon sebelum buat rumah, cucuk tanam dan sebagainya di pejabat tanah dan isi borang.
“Sudah pasti pejabat tanah akan tanya tiap-tiap jabatan teknikal dan kalau semua jabatan mengatakan tiada halangan tanah itu diluluskan biasanya kita luluslah, tapi bila akan diambil semula ia harus diserahkan,” katanya.
Saarani mengulas laporan Utusan Malaysia berkenaan seorang peneroka tanah kerajaan yang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit di Kampung Air Tenang, Tukang Sidin, di Teluk Intan, Mohamad Anuar Arshad, 56, apabila kediamannya dirobohkan minggu lalu.
Mohamad Anuar bersama isterinya kini menjadikan pondok tepi Sungai Pahlawan, Teluk Intan sebagai tempat berteduh setelah rumah mereka yang didirikan di atas tanah yang diteroka, dirobohkan oleh syarikat yang memajak tanah tersebut.
Saarani berkata, tanah berkenaan merupakan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan dijual kepada sebuah syarikat swasta.
Katanya, tanah itu bukan tanah rizab Melayu seperti yang didakwa pihak tertentu. –UTUSAN