JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekali lagi menegaskan bahawa baginda tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang sedang tersebar dalam media sosial ketika ini.
Titah baginda, segala kenyataan atau laporan berita berkaitan baginda atau keluarga Diraja Johor hanya akan dikeluarkan Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor, iaitu Royal Press Office (RPO).
“Ini adalah satu kenyataan palsu yang disebarkan secara berterusan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam pelbagai aplikasi media sosial.
“Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor sebelum ini sudah membuat laporan polis tentang penyebaran kenyataan palsu ini,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Gambar yang dimaksudkan memaparkan baginda berserta bendera Johor dengan kenyataan; ‘Kerajaan UMNO perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah’.
Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa pihaknya akan sekali lagi membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut.
“Kenyataan palsu ini sudah beberapa kali disebarkan dalam media sosial dan ia masih berterusan hingga ke hari ini. Saya menitahkan RPO untuk sekali lagi membuat laporan polis tentang perkara ini,” titah baginda. –UTUSAN