PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang arkitek kerana disyaki membuat tuntutan palsu dengan nilai anggaran RM3 juta berkaitan sebuah projek pembangunan di Pantai Timur.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan susulan penahanan empat individu termasuk seorang pengurus syarikat hartanah berhubung kes sama pada 16 Jun lalu.
Sumber berkata, lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
Jelasnya, dia disyaki terlibat dalam tindakan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek yang keseluruhannya bernilai lebih RM300 juta berkenaan sedangkan kerja-kerja tidak dilaksanakan.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 23 Ogos setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. –UTUSAN ONLINE