Kegiatan seludup PATI terbongkar selepas terlibat kemalangan

Kegiatan seludup PATI terbongkar selepas terlibat kemalangan

KEADAAN Perodua Alza yang membawa 10 warga Myanmar selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tok Dor, Besut, Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai cuba menyeludup masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terbongkar selepas kereta Perodua Alza yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Tok Dor, semalam.

Dalam kemalangan yang berlaku pukul 7.20 pagi itu, kenderaan yang dipandu suspek berusia 34 tahun dari Kampung Sri Mahligai Luar, Kuala Krai, Kelantan itu sedang membawa 10 lelaki warga Myanmar.

Suspek dikatakan tertidur semasa memandu menyebabkan keretanya terlanggar belakang sebuah Proton Persona dan kereta yang dilanggar itu kemudian hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah Proton Wira dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek dan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mengalami kecederaan ditahan polis dan dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, sembilan lagi warga Myanmar dalam kenderaan itu melarikan diri selepas kemalangan itu, 

Bagaimanapun, katanya,  tiga daripada PATI yang melarikan itu berjaya diberkas oleh orang awam dan polis masih memburu baki lima lagi rakan mereka yang masih bebas.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mengambil warga Myanmar terbabit di Ladang Kelapa Sawit, Ciku 3, Gua Musang, Kelantan untuk dihantar ke Gambang, Kuantan, Pahang.

“Suspek dibayar upah seorang lelaki dikenali dengan nama Pak Do yang merupakan warga negara Thailand sebanyak RM1,200 untuk menyeludup 10 orang PATI tersebut.

“Malah, Pak Do juga telah menyediakan sebuah MPV Perodua Alza tersebut untuk melakukan kegiatan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rozak memberitahu, pemeriksaan ke atas pemilikan kenderaan tersebut pula mendapati Perodua Alza tersebut telah didaftarkan atas nama seorang lelaki dari Keningau, Sabah. 

Jelasnya, kenderaan itu telah dibawa ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas dua telefon bimbit dan empat biji pil kuda daripada suspek dan empat telefon bimbit milik empat warga Myanmar tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, hasil semakan polis mendapati suspek mempunyai dua kesalahan lampau membabitkan kesalahan dadah.

Menurut Abdul Rozak, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek juga mendapati dia positif Methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN