PETALING JAYA: Kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pertama dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi setelah tertangguh untuk sekian lama.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sendiri akan memaklumkan kepada orang ramai berhubung jadual berperingkat kapal-kapal yang telah dijanjikan kepada TLDM di samping kepada Kabinet.
“Ini satu soalan (bila kapal siap) yang kita perlu jawab, cuma kita tidak mampu jawab sekarang kerana kita diberikan enam bulan selepas keputusan Kabinet untuk memobilisasikan usaha menghidupkan projek ini.
“Ia melibatkan engagement (penglibatan) dengan vendor di Perancis, ia melibatkan institusi perbankan, tetapi untuk Dewan ini saya nyatakan bahawa sekurang-kurang setahun dua ini, saya harap bahawa jelas kapal pertama akan siapkan.
“Saya akan laporkan kepada orang ramai secara berperingkat-peringkat tentang kapal yang dijanjikan kepada TLDM dan saya akan memaklumkan kepada Kabinet tentang kali ini, Insya Allah untuk memastikan mengikut apa yang dijadualkan,” katanya dalam Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Senator Datuk Razali Idris yang meminta penjelasan Kementerian Pertahanan berhubung tempoh akan diambil untuk menyiapkan kapal LCS setelah tertangguh untuk sekian lama.
Menjawab soalan Senator Hussain Awang, Hishammuddin berkata, projek LCS perlu diteruskan dengan bersandarkan keperluan TLDM dan berkaitan polisi serta perancangan di samping untuk memastikan ratusan vendor yang antaranya terdiri daripada veteran tentera tidak gulung tikar.
Beliau sekali lagi menegaskan siapa yang salah, tetap salah dan sekiranya berlaku penyelewengan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan dan pihak berkenaan telah pun menggerakkan siasatan.
Katanya, beliau tahu ramai kecewa tetapi mesti melihat ke hadapan untuk mencari keadilan agar kapal dapat dibekalkan kepada TLDM dan mencari jalan terbaik untuk memastikannya tidak berulang pada masa akan datang.
“Perkara ketiga bagaimana kita hendak lihat ke hadapan untuk memastikan kapal-kapal sampai ke TLDM dengan pesalah tetap di bawa ke muka pengadilan.
“Ini sesuatu telah mendapat keputusan Kabinet tempoh hari, kerjasama kita kepada PAC telah menyeluruh di mana kita berdepan dengan PAC lebih 15 kali. Rancangan kita ke hadapan enam bulan dan tiga bulan saya akan melaporkan kepada Kabinet, sedang rancak berjalan.
“Kabinet sendiri cuba untuk memastikan pokok tadi agar pastikan kapal sampai kepada TLDM, cara bagaimana dapat kita bela vendor-vendor dan veteran agar mendapat hasilnya,” katanya.
Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan selesai mengadakan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 dan yang terakhir pada 8 Mac lepas dengan memanggil beberapa saksi dan hasil prosiding itu mendapati kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan.
Menurut jadual asal, sepatutnya lima kapal harus disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022. – UTUSAN










