Kadar pengangguran Jun 2022 terendah sejak pandemik Covid-19 

Kadar pengangguran Jun 2022 terendah sejak pandemik Covid-19 

Ramai lepasan sekolah memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan sebelum menyambung pengajian ke universiti atau mendapat peluang pekerjaan lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran pada Jun menurun kepada 3.8 peratus bersamaan 630,600 orang iaitu terendah sejak pandemik Covid-19 melanda negara. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara mencapai guna tenaga penuh sejak April lalu iaitu bawah empat peratus berdasarkan definisiditetapkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). 

Beliau berkata, pada Jun lalu juga, kedudukan tenaga buruh lebih stabil berikutan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh, dengan pertambahan 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.57 juta orang. 

“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut juga kekal pada 69.5 peratus.

“Pencapaian pasaran buruh pada Jun lalu adalah selaras dengan aktiviti ekonomi semasa lebih kukuh susulan peralihan ke fasa endemik di seluruh negara.

“Keadaan itu membolehkan permintaan terhadap buruh meningkat, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini. 

Mustapa berkata, secara keseluruhan, trend jangka panjang kadar pengangguran negara adalah sekitar 3.4 peratus (purata bagi tempoh 2011-2021). 

Katanya, selepas mengambil kira pelbagai petunjuk ekonomi dan jangkaan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, kadar pengangguran dijangka bergerak ke trend jangka panjang.

Menurut beliau, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus pada Jun 2022 kepada 15.94 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja bagi semua sektor ekonomi terus mengukuh pada bulan tersebut kecuali bagi sektor perlombongan dan pengkuarian.

“Peningkatan guna tenaga dalam sektor perkhidmatan pula banyak dipacu aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN