Jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan kelahiran Imam Mahdi - Utusan Malaysia

Jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan kelahiran Imam Mahdi

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan kelahiran Imam Mahdi supaya tidak menjadi mangsa penipuan individu atau pihak yang mempunyai muslihat tertentu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, kebelakangan ini banyak dakwaan tentang kelahiran Imam Mahdi oleh pelbagai pihak yang dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat Islam di negara ini terutama mereka yang kurang cukup pengetahuan agamanya.

Katanya, ramai individu atau kumpulan yang mengeksploitasi isu Imam Mahdi untuk tujuan tertentu terutama bagi kepentingan politik dan pengaruh agama.

”Pada pandangan saya, umat Islam tidak perlu memberi perhatian yang berlebihan tentang isu ini.

”Ini kerana umat Islam masih memiliki dua sumber yang sahih untuk dijadikan pedoman dan panduan kehidupan iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah, maka, berpegang kepada kedua-duanya sudah cukup untuk membangun kehidupan yang baik, maju dan mulia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah di Seremban, Negeri Sembilan dilaporkan ditutup selama enam bulan berkuat kuasa Rabu lalu.

Beberapa kepercayaan yang terpesong termasuk mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lepas antara faktor pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah itu ditutup pihak berkuasa.

Menurut Wan Salim, panduan daripada al-Quran dan sunnah mampu mengembalikan tamadun yang gemilang tanpa perlu menunggu kedatangan “Sang Penyelamat” yang tidak diketahui secara pasti bilakah masa kemunculannya.

”Apa yang paling wajar dibincangkan dan diberi keutamaan oleh umat Islam kini ialah tentang perkara-perkara praktikal yang mampu mengembalikan kekuatan umat dan kemuliaannya.

“Atau sekurang-kurangnya mampu menyelesaikan pelbagai masalah semasa yang membelenggu kehidupan umat seperti kemiskinan, perpecahan, rasuah, gejala anak-anak muda kehilangan arah dan sebagainya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan isu Imam Mahdi tiada kaitan dengan akidah Islamiah.

”Siapa yang percaya, maka, dia boleh menunggu kelahiran penyelamat tersebut tanpa menyebarkannya kepada masyarakat. 

”Sesiapa yang tidak percaya, maka dia tidak menjadi kafir dengan sikap sedemikian,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya