Guru pencen diarak dengan kereta kuda tinggalkan sekolah - Utusan Malaysia

Guru pencen diarak dengan kereta kuda tinggalkan sekolah

ABDUL Halim Ibrahim (berdiri) dibawa menaiki kereta kuda sambil melambai ke arah pelajar tanda selamat tinggal pada Majlis Persaraannya di SMK Sungai Soi, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Diarak menaiki kereta kuda bersama isteri serta diiringi penunggang-penunggang kuda terlatih pada majlis persaraan pasti meninggalkan kenangan terindah buat guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, guru berkenaan, Abdul Halim Ibrahim, 57, berkata, dia tidak menduga bahawa pihak sekolah meraikan hari bersejarahnya dalam suasana cukup meriah.

Menurutnya, dia berasa amat terharu dengan sambutan yang diberikan, lantas mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang menjayakan majlis itu.

“Memang tidak disangka, malah, saya sangat terkejut dengan penghargaan ini, jelas menunjukkan pihak sekolah begitu menghargai saya.

“Sambutan sebegini memang tidak diduga, tambahan dibawa berarak menaiki kereta kuda. Saya hanya insan biasa dan tiada istimewanya apa pun, ini adalah penghargaan yang tertinggi, syukur pada Allah SWT,” katanya ketika ditemui di SMK Sungai Soi di sini, semalam.

Majlis turut diserikan apabila Abdul Halim dan isterinya, Sabita Jamaluddin, terlebih dahulu disandingkan sekali lagi di dewan sambil dihiburkan dengan beberapa persembahan nyanyian pelajar.

Dalam pada itu, bapa kepada lapan orang anak tersebut mengakui perasaannya memang sedih untuk meninggalkan dunia pendidikan yang telah diceburinya selama 32 tahun.

“Namun begitu, saya tetap gembira untuk meninggalkan sekolah ini kerana keadaan semua sudah dalam keadaan baik dan sangat kondusif.

“Apapun, banyak kenangan manis yang kita sudah kecapi di sini, paling berharga apabila dapat membawa kejayaan kepada sekolah dalam bidang sukan.

“Selain itu, dapat melihat pelajar berjaya dalam kehidupan. Kita dapat ikuti perkembangan pelajar sejak dari dia masuk tingkatan satu hingga ke tingkatan lima, jadi, kita akan mendidik mereka dengan keadaan yang terbaik,” katanya.

Abdul Halim mula bertugas sebagai guru di SMK Lembah Keramat pada 1989 dan pernah bertukar ke beberapa sekolah di negeri ini sebelum mengajar di SMK Sungai Soi pada tahun 2017.

Sementara itu, Pengetua SMK Sungai Soi, Zolkifli Abd Ghani berkata, Abdul Halim wajar dihargai kerana beliau merupakan guru pendidikan jasmani yang berdedikasi dan banyak menyumbang beberapa kejayaan sekolah dalam bidang sukan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya