KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju supaya gaji dan imbuhan jurutera perlu dikaji semula, terutama jurutera yang berkhidmat dalam sektor awam.
Ini kerana, katanya, kerajaan memandang serius isu gaji permulaan jurutera yang rendah kerana ia mampu menjejaskan peluang golongan muda menceburi profesion berkenaan.
“Perkara ini boleh menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara kerana nisbah seorang jurutera berbanding penduduk di Malaysia adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Jepun dan Jerman.
“Oleh itu, saya setuju gaji dan imbuhan dalam skim Kejuruteraan Perkhidmatan Awam perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kepakaran kejuruteraan, kos sara hidup dan sebagainya,” katanya ketika menghadiri majlis makan malam ulang tahun ke-50 penubuhan Lembaga Jurutera Malaysia di ibu negara.
Tahun lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan jurutera ‘miskin’ apabila didapati gaji jurutera tempatan di negara ini masih statik dan tidak berubah sejak 20 tahun lalu yang dianggap tidak setimpal dengan profesion berkenaan.
Walaupun bergelar profesional, gaji permulaan yang diterima jurutera siswazah masih ditawarkan pada nilai sama seperti era 2000 iaitu serendah RM1,500 hingga RM2,000 berbanding pekerja perkhidmatan p-hailing yang meraih pendapatan RM4,000 sebulan.
Bagaimanapun, Lembaga Jurutera menjelaskan, penetapan gaji minimum kerjaya jurutera seperti mana profesion lain yang berdasarkan penawaran dan permintaan.
Menurut lembaga itu, anggaran gaji permulaan jurutera termasuk elaun di dalam perkhidmatan awam pada 2000 adalah sebanyak RM1,800 manakala pada tahun lalu pula adalah RM3,500 sekali gus menunjukkan berlaku peningkatan hampir 100 peratus sepanjang tempoh 20 tahun.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, usaha lebih agresif dan serius perlu dilakukan bagi melantik lebih ramai jurutera mengisi jawatan-jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam.
“Malah, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan melantik kalangan jurutera mengisi jawatan pengurusan atasan syarikat seperti ahli Lembaga Pengarah dan juga Ketua Eksekutif,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, dalam usaha memartabatkan profesion kejuruteraan, jurutera Malaysia perlu lebih agresif untuk berinovasi dan menghasilkan produk dan teknologi yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.
“Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar Malaysia bukan lagi menjadi sekadar pengguna teknologi tetapi sebaliknya pencipta dan pengeluar teknologi. Inilah yang kita harapkan,” katanya.
Beliau turut menyokong usaha Lembaga Jurutera meminda Akta Pendaftaran Jurutera 1967.
“Pindaannya diharap dapat disegerakan supaya mampu berperanan sebagai badan kawal selia profesion kejuruteraan yang berkesan dan profesional demi memelihara kepentingan dan keselamatan orang awam.
“Saya percaya bahawa profesion kejuruteraan akan kekal menjadi tunjang pembangunan negara untuk 50 tahun akan datang,” katanya.-UTUSAN