Kerajaan gagal menilai syarikat bina kapal tempur TLDM

Kerajaan gagal menilai syarikat bina kapal tempur TLDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penilaian kerajaan ke atas Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) berhubung perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Who berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Jelas Kah Woh,  ia antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan kontrak berkenaan.

“Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan. Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022, sepatutnya lima buah kapal LCS disiap dan diserahkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Tambah Kah Woh, Kementerian dan BNS turut mengabaikan pandangan TLDM selaku pengguna akhir berhubung projek LCS.

“Memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz, Panglima TLDM pada ketika itu, keputusan tersebut adalah ‘something is gravely wrong’,” katanya.

Kah Woh berkata, kedudukan kewangan BNS lemah dan kritikal akibat salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan dengan hutang syarikat kepada pengeluaran produk tulen (OEM) bernilai RM801 juta, manakala pinjaman dengan institusi kewangan adalah sebanyak RM956 juta, setakat 2018.

Beliau berkata, BNS melantik Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) untuk membeli peralatan daripada OEM menyebabkan kos pembelian bertambah berkali ganda manakala kedua-dua syarikat itu adalah syarikat usahasama antara BNS dan Rheinmetall Air Defense AG (RAD).

RAD mempunyai kawalan penuh ke atas CAD dan CED selain Laporan Pengauditan Forensik mendapati peranan kedua-dua syarikat berkenaan dalam projek LCS amat meragukan.

“Sehingga kini, ‘detailed design’ masih belum dimuktamadkan kerajaan dan BNS. Ini menyebabkan Arahan Perubahan Kerja (VO) dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi berlaku.

“Pembayaran diterima daripada kerajaan oleh syarikat BNS tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya, menyebabkan syarikat BNS menghadapi suatu ‘cost over run’ sebanyak RM1.4005 bilion dengan sejumlah RM400 juta daripadanya digunakan bagi menyelesaikan hutang lapuk projek lama NGPV.

“Peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15 peratus telah pun usang (obsolete),” katanya.

Mengenai langkah penambahbaikan, PAC mengesyorkan tujuh perkara kepada kerajaan untuk dilaksanakan, antaranya Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) TLDM, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dinyahklasifikasikan sepenuhnya.

Selain itu, insiden perubahan pemilihan reka bentuk kapal LCS daripada SIGMA kepada GOWIND harus dijadikan pengajaran dengan perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan negara harus mengutamakan keperluan pengguna akhir serta secara amnya bagi segala projek dan perolehan di masa hadapan perlu selari Kertas Putih Pertahanan 2020-2030.

“Kementerian perlu membentangkan perancangan perolehan ketenteraan substantif kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari semasa ke semasa, membabitkan semua pihak berkepentingan demi kesiapsiagaan pertahanan negara.

“Pentadbiran kontrak kerajaan haruslah diperkemas untuk meminimumkan VO bagi mengelak peningkatan kos projek, selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera mengambil tindakan ke atas segala penemuan Laporan PAC, Laporan JKSTUPKK, dan Laporan Pengauditan Forensik. Pendakwaan harus disegerakan.

“Kementerian Pertahanan perlu melihat semula semua opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik bagi projek LCS dan memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab, selain perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga ia disempurnakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya