KUALA SELANGOR: Enam sekeluarga nyaris rentung apabila rumah papan tempat tinggal mereka di Jalan Lama Bagan Tengkorak, Tanjong Karang di sini, musnah terbakar pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu berlaku ketika sebahagian besar mangsa sedang nyenyak tidur di dalam rumah tersebut.
Bagaimanapun, mereka yang terdiri daripada tiga lelaki dan wanita itu terselamat dan berjaya keluar dari rumah mereka.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan 25 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dan Sekinchan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 7.50 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan.
“Kebakaran itu turut melibatkan sebuah kereta Proton Saga milik mangsa yang berada di hadapan premis tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, api berjaya dikawal dalam tempoh 37 minit dan padam sepenuhnya pukul 10.50 pagi.
“Ketika kejadian, enam sekeluarga berada di dalam rumah itu yang sebahagiannya sedang tidur dan melakukan rutin harian.
“Kesemua mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan bomba,” ujarnya.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. –UTUSAN ONLINE