Emas komanwel untuk Aina - Utusan Malaysia

Emas komanwel untuk Aina

MUHAMAD Aznil Bidin bersama isterinya, Aina Izzati Masri ketika ditemui semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kampung Baru, Bukit Pinang di Kepala Batas. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengorbanan Aina Izzati Masri sejak mendirikan rumah tangga dengan badang negara nyata berbaloi apabila suaminya, Muhamad Aznil Bidin berjaya membawa pulang pingat emas Sukan Komanwel kepada negara bagi acara angkat berat.

Sejak berkahwin pada November tahun lalu, Aina Izzati, 23, yang tahu kesibukan jadual latihan suaminya turut mengakui bahawa mereka tidak sempat berbulan madu kerana Muhamad Aznil sedang giat membuat persiapan menghadapi kejohanan itu.

“Selepas ini mungkin baru kami akan pergi berbulan madu, namun, sebenarnya bergantung juga kepada jadual latihan dia yang akan membuat persiapan ke Sukan Olimpik pula

“Sebagai isteri, saya menyokong kerjaya suami memandangkan sebelum kami berkahwin lagi saya tahu tentang jadual latihannya yang sangat sibuk dan sering tidak banyak masa untuk berada di rumah.

“Dalam sehari saya hanya berpeluang berjumpanya beberapa jam sahaja kerana hampir setiap hari beliau perlu ke Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, hari ini.

Muhamad Aznil, 28, mempertahankan pingat emasnya selepas melakukan angkatan keseluruhan 285 kilogram (kg), sekali gus mencatat rekod baharu Sukan Komanwel 2022 bagi kategori 61 kg.

Ketibaan Muhamad Aznil sebelum itu disambut gembira ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan-rakan bagi mengucapkan tahniah dan melihat sendiri pingat emas yang dibawa pulangnya.

Malah, ibu bapanya, Bidin Yaacob, 54, dan Haslina Hamzah, 50, turut mengadakan kenduri kesyukuran di rumah mereka di Kampung Baru, Bukit Pinang.

Sementara itu, Bidin tidak menyangka anak kedua daripada empat beradik itu kali ini berjaya memecahkan rekod baharu Sukan Komanwel selepas membawa pulang pingat pertama dalam kejohanan sebelum ini.

“Kami menitis air mata apabila melihat anak dapat lakukan angkatan yang memecah rekod itu. Rumah kami dipenuhi jiran dan rakan yang turut menjerit kegembiraan kerana tidak menyangka dia mampu mengulangi kejayaan empat tahun lalu.

“Kami berharap selepas ini, Muhamad Aznil akan terus mencapai kejayaan dan berdoa beliau mampu menyumbangkan pingat untuk negara pada Sukan Olimpik pula,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Aznil berkata, fokusnya kini adalah mengutip mata dalam kejohanan angkat berat dalam tempoh terdekat bagi memastikannya layak bertanding pada Sukan Olimpik hujung tahun ini.

“Kemenangan kali kedua ini saya tuju khas kepada kedua ibu bapa yang banyak menyokong perjalanan karier, selain itu saya baru berumah tangga pada tahun lalu, jadi pingat emas ini untuk isteri juga yang banyak berkorban.

“Selain sasaran ke Olimpik, saya juga merancang mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel ini buat kali ketiga, sekali gus mencipta hatrik yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Namun, semuanya bergantung kepada persiapan dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya