KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengingatkan kerajaan supaya ketirisan sumber negara dapat dibendung sepenuhnya.
Titah baginda, meskipun tanggungjawab tersebut bukannya mudah, namun, tidak mustahil untuk dicapai jika semua pihak sama ada di dalam atau luar kerajaan memahami ketirisan serta mempunyai tanggungjawab moral masing-masing.
Baginda bertitah, seluruh jentera kerajaan juga perlu bertindak cekap dalam menguruskan sumber dan keutamaan negara bagi memastikan segala perancangan mencapai matlamat dikehendaki.
“Pembangunan sumber manusia juga tidak boleh diabaikan dan perlu terus ditambah baik agar program dan projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual.
“Kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan harus dijalinkan bagi merancakkan lagi agenda pembangunan negeri dan Malaysia,” titah baginda pada Majlis Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra di sini malam tadi.
Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan exco kerajaan negeri.
Majlis sambutan yang bermula pada pukul 8.30 malam itu dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung bagi menyaksikan pelbagai acara menarik disediakan khas bersempena Hari Kebangsaan itu.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut menitahkan agar seluruh masyarakat dapat memanfaatkan perkembangan teknologi dengan sebaiknya bagi menggelakkan sebarang salah faham dan permusuhan.
“Elakkan daripada menyalahgunakan kecanggihan teknologi untuk menyebar fitnah, kebencian dan permusuhan yang memecah belahkan masyarakat.
“Negara ini tidak memerlukan persengketaan yang bakal merugikan semua pihak,” titah baginda. –UTUSAN ONLINE