MELAKA: Gara-gara menyeleweng minyak pelincir kenderaan, seorang bekas eksekutif inventori kanan sebuah syarikat petroleum terkenal dan dua rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, 40, serta Mohammad Safiy Khan Muzair Khan, 33, dan Mohd. Zakry Abu Bakar, 38, mengaku tidak bersalah ketika prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan terhadap Sheikh Izzuddin, tertuduh sebagai senior eksekutif inventori (ketika kejadian) diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu minyak pelincir 24,461.43 kilogram (kg) dengan anggaran harga RM113,000.
Tertuduh bagaimanapun didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan mengalihkan sebahagian minyak milik syarikat dan menyalahgunakannya.
Perbuatan itu dilakukan antara 20 September 2020 kira-kira pukul 9 pagi hingga 1 November 2020 kira-kira pukul 11.16 pagi di kawasan MG3 Melaka Lubricant Sdn. Bhd. (MLBP) Sungai Udang di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohammad Safiy yang bekerja sebagai kontraktor dan Mohd. Zakry selaku anggota polis bantuan masing-masing didakwa bersubahat membantu Sheikh Izzudin untuk melakukan pecah amanah terhadap minyak pelincir berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama.
Bagi tindakan itu, kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 408 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau maksimum 14 tahun dan sebat serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap Sheikh Izzudin dan Mohammad Safiy, manakala Mohd. Zakry pula RM15,000.
Ketiga-tiga tertuduh diwakili Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, Fahmy Sulaiman, Faiezad Razali dan Melvin Tay Yee Shian merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan mereka perlu menanggung ahli keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan Sheikh Izzuddin dan Mohammad Safiy diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap orang, manakala Mohd. Zakry sebanyak RM7,000.
Kedua-dua hakim turut bersetuju menetapkan satu tarikh sama iaitu 26 September ini untuk sebutan semula kes. –UTUSAN ONLINE