REMBAU: Penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyerahkan kepada pucuk pimpinan Gerakan Tanah Air (GTA) sama ada mahu memilihnya ataupun tidak sebagai calon mewakili gabungan parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.
Beliau malah berkata, masih terlalu awal untuk perkara itu dibincangkan namun mengakui selesa bersama perjuangan GTA yang memberikan ruang secukupnya termasuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ini merupakan satu platform yang saya lebih selesa, mengapa saya cakap lebih selesa kerana saya memperjuangkan satu agenda pemerkasaan pendidikan khas untuk anak-anak istimewa dan keluarga-keluarga yang mempunyai anak istimewa.
“Itu memang nyata, saya ada sekolah sendiri tetapi selama bila saya bergerak (secara) individu, banyak yang saya tidak boleh capai secara lebih luas.
“Jadi disebabkan itu saya masuk satu parti politik yang saya ingat boleh membantu mengembangkan agenda saya ini, namun ia tidak seperti yang saya gambarkan. Saya berpatah balik dan lebih selesa bergerak sendiri (NGO),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Bicara Perjuangan Di Mana Melayu dan Islam Selepas PRU15 di Pedas di sini semalam.
Program tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan, Ahmad Idham keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana mendakwa, banyak masalah dalaman parti dan janji-janji tidak dipenuhi selama bersama parti itu.
Sementara itu, Ahmad Idham menambah, dari awal perjuangannya dia sering menekankan soal hasil kerjanya.
“Ini bukan mengenai calon, ini mengenai perjuangan kita sampai ke tidak kepada masyarakat. Apa guna jadi calon kalau perjuangan tidak sampai, masyarakat pun tidak sokong kita,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE